THE PRIDE OF SABAH & MALAYSIA
1
Ada insan yang bekerja dalam diam, tapi impaknya bergema jauh, merentas seribu sempadan. Viviantie Unyil, contoh misali yang mendukung pesona sedemikian.
Saya pernah gelar beliau: “wirawati penjawat awam Sabah yang paling tidak berdendang.” Bukan kerana dia kurang dikenali, tetapi kerana dia terlalu membumi dalam bekerja. Dia berfokus penuh pada prestasi, bukan riuh dengan sensasi.
2
Dengan kelayakan akademik, kemahiran dan pengalaman yang ada, Viviantie sebenarnya telah membina kerjaya kukuh di Lembah Klang. Tetapi beliau memilih untuk pulang ke Sabah pada tahun 2019-2025. Kenapa? Kerana menyahut cabaran membina ekosistem kreatif dan inovasi Sabah yang masih bertatih ketika itu. Memilih untuk bergulat di arena baru, bukan sekadar bersinar di ruang selesa.
Dalam tempoh kurang dua tahun lepas penubuhan SCENIC (Sabah Creative Economy and Innovation Centre), dia berjaya jadikan agensi ini pemacu digital paling berimpak di persada nasional. Itu bukan tugas yang mudah. Membina asas, satu demi satu, dalam ekosistem yang ketika itu di Sabah, masih berselerak tanpa arah.
3
Apa yang ramai tidak nampak ialah kerja rumit di balik tabir. Membina asas inovasi dan teknologi di Sabah bukan sekadar lancarkan program dan anjur acara. Ia soal menyatukan jaringan antara kerajaan, industri, akademia, gerakan sivil dan komuniti. Empat dunia yang selalunya beroperasi dengan frekuensi berbeza.
Viviantie memimpin sinergi ini dengan kemas, konsisten, dan strategik. Kolaborasi yang dirangkai bukan bersifat ceremony semata-mata, tetapi benar-benar organik dan hidup. Dari peringkat lokal, menembusi nasional, hingga ke jaringan global. Semuanya diikat oleh satu matlamat: mengukuhkan gerakan ekonomi akar umbi Sabah.
4
Bagi keusahawanan sosial, Viviantie bukan sekadar peneraju, tetapi sebagai pemacu. Dia memahami bahawa social enterprise bukan satu projek kebajikan. Tapi sistem ekonomi alternatif yang berpaksi komuniti dan mampu berdaya tahan. Sekaligus jadi game-changer untuk landskap sosioekonomi Sabah yang masih marginal.
Kerangka ekonomi mesra rakyat ini membuka ruang kepada komuniti untuk berdikari, berinovasi, dan mencipta nilai tanpa meminggirkan sesiapa di belakang. Ini kerja jangka panjang yang getir. Tapi Viviantie tegar memilih untuk berjuang dalam laluan yang sukar ini.
5
Tahun 2026 adalah kemuncak manisnya. Viviantie dinobat sebagai penerima Public Social Innovator of the Year 2026 oleh Schwab Foundation for Social Entrepreneurship, sempena World Economic Forum Annual Meeting 2026. Dia merupakan penerima pertama dari Malaysia bagi anugerah prestij berstatus antarabangsa ini.
Anugerah ini bukan sekadar sijil dan simbol. Ini satu tanda paling bermakna pada leadership Viviantie sebagai “community and ecosystem builder”. Ini juga bukti bahawa perubahan besar boleh bermula dari akarumbi, asalkan ada keberanian dan jiwa yang besar.
6
Bakat yang bermutu pun, kadangkala tidak akan terserlah sinar yang penuh. Jika tidak disokong dengan dorongan yang tepat, dan tidak diberi peluang mengasah potensi di ruang terbaik.
Viviantie bertuah kerana YAB DSP Hajiji sendiri meluluskan bantuan pengajian. Apabila dia terpilih melanjutkan ijazah sarjana di UK bawah skim Chevening, pada tahun 2022. Terima kasih YAB Ketua Menteri kerana sentiasa memartabatkan misi pendidikan dan pengembangan bakat anak jati Sabah.
Klik sini: https://www.facebook.com/share/1A26BxgCcF/?mibextid=wwXIfr
7
Sesudah puas bertanya, apa yang Sabah berikan padaku; sesekali kita juga mesti bertanya, apa yang telah daku berikan untuk Sabah.
Supaya kita jadi manusia yang tahu menyumbang, bukan hanya leka bergebang.
Kredit FB: Rem Dambul

