SHAH ALAM – Pemilik tanah yang berdepan isu pencerobohan serta pembinaan rumah ibadah tanpa kebenaran di atas tanah persendirian diingatkan supaya tidak bertindak sendiri tanpa mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menegaskan bahawa sebarang tindakan yang membelakangi proses perundangan berpotensi mencetuskan ketegangan dan menjejaskan keharmonian antara kaum serta agama di negeri ini.
Menurut beliau, undang-undang sedia ada termasuk di bawah Kanun Tanah Negara telah memperuntukkan prosedur yang jelas dalam menangani isu berkaitan pemilikan dan pencerobohan tanah.
“Tiada mana-mana pihak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah sebagaimana diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkaitan tanah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar mengutamakan saluran undang-undang serta pendekatan yang matang dalam menyelesaikan pertikaian, terutama melibatkan isu sensitif yang berkait rapat dengan agama dan perpaduan masyarakat.
Kerajaan negeri, katanya, komited memastikan setiap isu ditangani secara adil, berhemah dan berpaksikan undang-undang demi mengekalkan kestabilan serta keharmonian di Selangor.

