PENAMPANG – Sabah terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga boleh baharu apabila melancarkan projek solar terapung pertama negeri ini di Empangan Babagon, satu inisiatif berimpak tinggi yang memanfaatkan teknologi tenaga hijau di atas permukaan air terawat.

Projek bernilai RM63 juta itu dikendalikan oleh Jetama Sdn Bhd dengan kapasiti sekitar 13.2MWac, sekali gus diiktiraf sebagai projek perintis konsep floating solar on potable water pertama di Malaysia. Ia melibatkan kawasan seluas 40 ekar, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keluasan permukaan empangan yang berjumlah 220 ekar.
Selain menjana tenaga bersih, pemasangan panel solar di atas air memberikan kelebihan teknikal seperti meningkatkan kecekapan panel melalui kesan penyejukan semula jadi air serta membantu mengurangkan kadar penyejatan air di empangan berkenaan.
Inisiatif strategik ini selaras dengan aspirasi Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040), yang memberi fokus kepada penyelesaian trilema tenaga — jaminan bekalan, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.
Dalam perkembangan berkaitan, Jetama turut membangunkan projek solar berskala besar berkapasiti 15MWac di Batu Sapi, Sandakan. Secara keseluruhan, kapasiti solar di bawah inisiatif syarikat itu kini mencecah 38.21MWac, memperkukuh lagi agenda peralihan tenaga Sabah.
Majlis pelancaran projek ini telah disempurnakan oleh Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah. Turut hadir ialah kepimpinan kanan kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk wakil Energy Commission of Sabah (ECoS), yang kini memegang kuasa kawal selia tenaga di Sabah bagi membolehkan dasar dan undang-undang tenaga digubal secara lebih holistik dan berfokus kepada keperluan negeri.

Pelaksanaan projek solar terapung ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Sabah terhadap tenaga bersih, malah menjadi simbol transformasi infrastruktur tenaga negeri ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan.
