Tuan Mohd Lan Muslim Dilantik Sebagai CEO Baharu SCENIC, Fokus Perkukuh Ekosistem Ekonomi Kreatif Sabah

Tuan Mohd Lan Muslim Dilantik Sebagai CEO Baharu SCENIC, Fokus Perkukuh Ekosistem Ekonomi Kreatif Sabah

KOTA KINABALU, 2 Januari 2026 — Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) secara rasmi mengumumkan pelantikan Tuan Mohd Lan Muslim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa serta-merta. Pelantikan ini menandakan permulaan era baharu dalam usaha memperkukuh dan memperluas pembangunan ekonomi kreatif dan inovasi di Sabah.

Dengan latar belakang yang kukuh dalam pembangunan belia, industri kreatif serta advokasi dasar awam, Tuan Lan membawa pengalaman luas dalam memacu perubahan dasar dan pelaksanaan program berimpak tinggi — khususnya yang melibatkan golongan muda, kreatif, dan komuniti luar bandar.

“Scenic akan menjadi pemangkin yang praktikal, bukan sekadar penganjur program. Kami mahu memastikan hasilnya dirasai oleh rakyat Sabah, terutamanya para pemain industri kreatif tempatan,” ujar beliau.

Pelantikan beliau turut hadir tepat pada waktunya menjelang penghujung Rancangan Lima Tahun SCENIC (2020–2025). Justeru, fokus utama beliau adalah untuk memperkukuh pelaksanaan di lapangan, menjadikan Scenic sebagai peneraju pelaksanaan projek dan peluang yang dapat mencipta pekerjaan, menjana pendapatan, serta mengembangkan perusahaan kreatif secara menyeluruh.

Tuan Lan Muslim juga menekankan kepentingan membina ekosistem ekonomi kreatif yang terstruktur, merangkumi kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti akar umbi. Ini termasuk membuka ruang untuk penyertaan belia, freelancer, serta komuniti luar bandar agar lebih ramai dapat terlibat secara langsung dalam ekonomi kreatif.

Sebelum ini, beliau dikenali sebagai individu aktif dalam memperkasakan suara anak muda melalui pelbagai inisiatif dasar, inovasi sosial dan penceritaan digital. Pelantikannya dilihat sebagai langkah strategik dalam membawa pendekatan segar, berasaskan pelaksanaan, dan berpaksikan rakyat.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *