8 Januari 2026 | Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan bahawa kes melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi telah ditutup sepenuhnya selepas hampir sembilan tahun proses siasatan dan prosiding dijalankan.
Menurut kenyataan rasmi AGC, keputusan ini menyusul selepas pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023. Rentetan itu, SPRM menjalankan siasatan lanjut meliputi sumber, perolehan, dan penggunaan dana yayasan tersebut.
AGC menyatakan bahawa hasil penelitian menyeluruh terhadap bukti baharu dan enam representasi yang dikemukakan oleh Zahid mendapati tiada keterangan mencukupi untuk meneruskan pendakwaan.
Sehubungan itu, AGC memutuskan bahawa Tiada Tindakan Lanjut (NFA) akan diambil, dengan keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan profesional, keadilan, dan integriti proses undang-undang, selaras dengan kuasa budi bicara Peguam Negara.

